UJIAN KENAIKAN PANGKAT & KURSUS DAN PENTAULIAHAN PEGAWAI PENGURUSAN 2025
SITIAWAN, PERAK – Seramai 691 peserta dan petugas dari seluruh negara telah melapor diri bagi menyertai dua program utama KRS MUSLEH yang berlangsung serentak pada awal Jun ini bertempat di D’Amir Chalet, Kampung Baharu, Sitiawan, Perak.
Program pertama, Ujian Kenaikan Pangkat (UKP) KRS MUSLEH 2025, diadakan dari 1 hingga 4 Jun 2025 dan disertai oleh 557 peserta, terdiri daripada calon Sarjan, Staf Sarjan dan Pegawai Waran. Seramai 283 syabab dan 274 fatayat telah menyertai ujian yang merangkumi pelbagai kemahiran seperti kawad kaki, Basic Self-Defense (BaSed), tali-temali, memanah tradisional, orienteering dan bantu mula. Turut bersama ialah 38 orang guru pengiring yang memberikan sokongan dan pemantauan kepada kontinjen masing-masing.
Dalam masa yang sama, Kursus dan Pentauliahan Pegawai Pengurusan (KPPP) KRS MUSLEH 2025 telah berlangsung dari 2 hingga 4 Jun 2025, khusus untuk guru besar dan penolong kanan sekolah yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan pengurusan unit KRS MUSLEH di peringkat sekolah. Seramai 13 peserta (5 lelakidan 8 perempuan) telah menyertai kursus ini yang menekankan aspek kepimpinan, tadbir urus, pengurusan organisasi serta hala tuju pembangunan anggota KRS.
Bagi melancarkan kedua-dua program ini, seramai 83 orang petugas telah ditugaskan, termasuk 50 pegawai dan 33 sukarelawan yang membantu dari pelbagai aspek teknikal, keselamatan dan logistik.
Majlis Perasmian Penutup bagi kedua-dua program ini telah berlangsung dengan penuh istiadat dan suasana penuh semangat pada hari terakhir program. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ustaz Isharuddin bin Ismail, Penasihat Kadet Remaja Sekolah Musleh yang juga merangkap Pengerusi Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan penting pendidikan kepimpinan dalam membina generasi pelapis ummah yang cemerlang dari segi sahsiah, kemahiran dan kepimpinan.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran LeftenanKolonel KRS Abd. Rahaim bin Md Isa, selaku PengerusiKadet Remaja Sekolah Musleh dan Pengerusi SekretariatPusat KRS Musleh, bersama barisan ahli panel serta Jawatankuasa Teknikal KRSM Kebangsaan yang turut hadir memberi sokongan padu.
Turut hadir ialah En. Muhammad Firdaus bin Al Hassan, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pendidikan Islam) yang mewakili Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah Manjung. Hadir sama memeriahkan majlis ialah Tuan Haji Amin bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Musleh Perak Berhad, yang mewakili Pengerusi Lembaga Penyelarasan Pendidikan IKRAM Negeri Perak.
Majlis penutup ini bukan sekadar simbolik penamatan program, malah menjadi pentas penghargaan kepada komitmen para peserta dan petugas serta menyuntik semanga tuntuk terus menggerakkan agenda pendidikan kokurikulum berteraskan nilai Islam dan jati diri kepimpinan sejati.