Pos Dala, Gerik - Pada 20 hingga 21 Mac 2025, Perunding KRS Musleh Sdn.Bhd dengan kerjasama Persatuan Rakan Setia Malaysia dan Sekretariat Pusat KRS Musleh telah menganjurkan Program Iftar Ramadhan dan Sumbangan Aidilfitri di Perkampungan orang asli Kg.Sungai Urat Pos Dala, Gerik, Perak.
Antara objektif program ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka yang ingin melakukan amal jariah pada bulan Ramadan serta merapatkan ukhuwah Islamiyah dalam kalangan masyarakat. Selain itu objektif lain adalah untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan menghidupkan malamnya dengan menunaikan solat terawih di samping dapat meraikan penduduk orang asli berpuasa sebagai latihan amalan ibadah di bulan Ramadan yang mulia ini.
Lima orang pegawai diketuai oleh Pengarah Program, Left.Kolonel KRS Wardah Saari, JK Media Kapten KRSM Mazuwin Mohamad Yusof, Setiausaha Program Kapten KRSM Aniza Mamat, Bendahari Program Leftenan KRSM Muhammad Fahmi Syazwan Kamarudin dan jawatankuasa program, Kapten KRSM Mohd Shukri Shariff bersama-sama dengan tiga orang alumni perempuan SMI Al Islah Sg.Petani telah terlibat dalam menguruskan pelaksanaan program ini supaya berjalan dengan lancar.
Persediaan kami bermula pada pagi hari Rabu 19 Mac 2025 bagi urusan pembelian barangan asas dapur untuk sumbangan kepada penduduk orang asli tersebut. Tengah hari sehingga malam pembungkusan barangan sehingga selesai dan memasukkan semua barangan ke dalam dua buah kenderaan 4X4 yang digunakan.
Kami bergerak dari pejabat PAKAT, Kuala Kangsar pada jam 11.30 pagi Khamis, 20 Mac 2025 dengan dua buah kenderaan 4x4 yang membawa barangan sumbangan menuju ke Pekan Gerik untuk mengambil sumbangan ayam goreng di dua buah restoran iaitu Restoran Famidah Nasi Kandar Daun Pisang dan Restoran Thaibah. Sebanyak 160 ketul ayam goreng disumbangkan oleh dua buah restoran tersebut.
Selesai urusan di Pekan Gerik, pada jam 4.20 petang kami bergerak masuk ke Pos Dala dengan menggunakan kenderaan FGV Felda Tawai dan sebuah kenderaan kami. Mereka telah menyediakan perkhidmatan dua buah kenderaan 4x4 untuk membawa barangan sumbangan iaitu 150 bungkusan barangan dapur berupa gula, minyak masak, beras pulut, tepung gandum dan rempah ratus. Selain itu, kain pelikat, kain batik sarung dan telekung solat turut dibawa bersama.
Lebih kurang sejam perjalanan, jam 5.20 petang kami tiba di tempat program iaitu Surau Al-Falah, Kg.Sungai Urat, Pos Dala, Gerik, Perak. Kami disambut oleh Ustaz Sabri pegawai Majlis Agama Islam Gerik yang menguruskan Perkampungan Orang Asli Pos Dala ini. Penduduk kampung bergotong royong memasak pelbagai jenis lauk pauk untuk majlis berbuka puasa ini.
Pada jam 6.45 petang, hidangan mula diatur di beberapa tempat hidangan. Para tetamu jemputan terdiri daripada Pegawai Majlis Agama Islam Gerik, pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), para guru dan pelajar Sekolah RPS Pos Dala dan NGO Kembara Dakwah Belantara. Banyak lauk pauk yang disediakan, kebanyakkannya menu masakan kampung selera orang asli. Berselera sungguh para tetamu jemputan menikmati juadah disediakan ketika berbuka puasa tersebut.
Para tetamu jemputan dan penduduk kampung melakukan solat Maghrib berjemaah. Usai solat Maghrib, tazkirah disampaikan oleh pegawai dari Pejabat Agama Daerah Gerik bertajuk Kelebihan orang berpuasa pada bulan Ramadan yang mendapat dua kegembiraan. Seterusnya solat Isyak berjemaah diikuti Solat Terawih dan disudahi dengan Solat Witir.
Majlis sumbangan Aidilfitri diteruskan dengan agihan sumbangan sebanyak 150 bungkus disampaikan kepada jawatankuasa yang terlibat dalam penyediaan berbuka puasa, 10 orang Tok Batin Perkampungan Pos Dala dan semua penduduk Kg.Sungai Urat Pos Dala. Bersama-sama kami juga NGO Kembara Dakwah Belantara juga turut menyampaikan sumbangan 40 kampit beras 10kg kepada penduduk kampung terpilih. Tergambar jelas kegembiraan di wajah-wajah mereka ketika menerima sumbangan tersebut. Majlis penyampaian sumbangan berakhir pada jam 11.00 malam selepas moreh.
Keesokan harinya pada 21 Mac 2025, Jumaat usai solat subuh berjemaah, Pengarah Program Left. Kolonel KRS Pn.Wardah Saari telah menyampaikan sumbangan zakat kepada beberapa orang penduduk yang telah dikenal pasti oleh Ustaz Sabri dan Tok Batin. Kami bergotong royong membersihkan tempat penginapan sebelum meninggalkan tempat ini. Tepat jam 8.00 pagi kami bergerak keluar dari Pos Dala.
Program Iftar Ramadhan dan Sumbangan Aidilfitri ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Para penerima sumbangan dan penganjur program dapat berukhuwah dengan baik seterusnya menjalin hubungan yang berterusan untuk terus berkolabotif dalam program lain lagi. Di samping itu juga, dapat membina hubungan yang baik dengan agensi-agensi dan jabatan yang terlibat seperti Majlis Agama Islam Gerik (MAIPk), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) FGV Plantation, para guru dan pelajar sekolah RPS Pos Dala dan para NGO yang terlibat.
Moga program yang bermanfaat ini akan diteruskan lagi pada tahun akan datang. Sekalung tahniah kepada semua yang menyumbang dengan ikhlas dan terlibat dalam menjayakannya.